Skuad sepak takraw negara tidak akan teragak-agak untuk menarik diri daripada menyertai sebarang kejohanan di China susulan penularan wabak koronavirus biarpun kekurangan kejohanan kompetitif tahun ini.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tahun ini, terdapat empat kejohanan yang akan berlangsung di China, termasuk Kejohanan Sepak Takraw Asia, Mei depan.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Abdul Talib Ahmad, akan membawa isu itu kepada pihak tertinggi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menentukan pendirian Malaysia sama ada menarik diri daripada semua kejohanan di China bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku ekoran penularan wabak koronavirus itu.

Saingan terdekat adalah yang membabitkan Kejohanan Sukan Accord di Beijing pada April depan.

"Dalam perbincangan pada 5 Februari depan, kami akan mengutarakan perkara ini, iaitu membabitkan perubahan yang perlu dilakukan berikutan penularan wabak ketika ini," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pagi tadi.



Editor: Shaiful Shamsudin