Kegagalan skuad sepak takraw negara dalam kempen Sukan SEA Filipina 2019 menyerlahkan kepincangan terhadap masalah yang sering dihadapi, iaitu aspek psikologi untuk mengatasi Thailand.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, bertekad mencari jalan penyelesaian supaya skuad sepak takraw negara tidak lagi dibuai mimpi ngeri setiap kali bertemu Thailand.

Antara faktor yang dinyatakan dalam mesyuarat post mortem Sukan SEA bersama Majlis Sukan Negara (MSN) ialah barisan pemain tidak mempunyai pendedahan yang cukup untuk membina tahap keyakinan mereka.

"Gugup dan gemuruh adalah kelemahan yang masih membelenggu skuad negara dan kami mahu memperbaiki masalah ini," kata Ahmad.

Sementara itu, PSM bakal tampil dengan kaedah latihan yang berbeza musim ini selain akan meningkatkan jumlah kejohanan di luar negara.

"Kami bakal menghadapi dua kejohanan di China dan beberapa lagi kejohanan dalam jadual Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF)."



Editor: Ammar Hakim