Skuad ragbi 15 sepasukan negara "merasmikan" penggunaan Stadium Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur dengan kemenangan ke atas KL Tigers 34-5 dalam perlawanan ujian hari ini.

Pertemuan itu merupakan yang kedua berturut-turut buat Malaysia dan Tigers selepas kali terakhir berentap Disember lalu.

Ia merupakan sebahagian daripada persiapan skuad kendalian Lee Nyuk Fah itu bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Asia Premier 2018 yang dijadualkan berlangsung pada penghujung April dengan Stadium Nasional menjadi gelanggang utama.

Malaysia yang diperkuatkan dengan beberapa tonggak dari Fiji bermula garang apabila memperoleh try menerusi Vaturi Kenetole pada minit ke-15, disusuli conversion oleh Amirul Aqil Kamsol untuk meletakkan Malaysia mendahului 7-0.

Penalti yang disempurnakan oleh Amirul serta satu try daripada Jim Vuninoku kemudian menyaksikan skuad negara menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan 17-0.

Bersambung dalam babak kedua, Tigers mempamerkan corak lebih yang lebih agresif bagi mengekang kemaraan Malaysia.

Begitupun, Aiman Jamaluddin dan Amin Jamaluddin masing-masing memperoleh try bagi terus meletakkan Malaysia makin selesa di samping satu conversion yang dapat disempurnakan pada minit ke-70.

Tigers kemudian memperoleh mata sagu hati menerusi try yang dilakukan oleh Sam Bottom pada minit terakhir permainan.

"Saya agak gembira dengan pemain-pemain saya.

"Saya berpeluang menggunakan kesemua 28 pemain saya. Ia memudahkan tugas untuk menyenaraikan senarai awal 15 atau 23 pemain utama sebelum menyertai siri Jelajah New Zealand dengan 30 pemain," kata Nyuk Fah.

"Suasana sambutan penyokong sangat memberangsangkan. Daripada sudut pemain, peluang beraksi di sini satu penghormatan dan membanggakan sebagai ujian pertama kami dalam persiapan berdepan Hong Kong dan Korea Selatan nanti," kata kapten skuad ragbi negara, Syahir Asraf Rosli.