Kapten skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Zulkiflee Azmi, menganggap penyertaan kategori 'B' ke Sukan Asia 2018 memberikan lebih motivasi buat dia dan rakan sepasukan untuk tampil dengan persembahan lebih menyerlah di Indonesia.

Syarat lebih ketat yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyaksikan ragbi tujuh sepasukan terpaksa akur dengan penyertaan tiket kategori 'B' ke Sukan Asia.

Sukan yang berada di bawah kategori ini perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri terlebih dahulu dan berdasarkan pencapaian tahun lalu, skuad negara berada di tangga keenam Asia berbanding syarat empat terbaik yang menjadi keutamaan MOM.

"Bagi kami, saya dan seluruh pasukan akan membuktikan kemampuan kerana sebelum ini pada tahun lalu, kami menduduki ranking terbaik di kedudukan kelima tanpa khidmat pemain import.

"Jadi, kami akan mendapatkan sasaran yang diberikan pada kali ini," ujarnya.

Dalam masa sama, Zulkiflee turut mengakui kecewa apabila skuad negara tidak dapat menyertai sesi latihan dan pertandingan di Sepanyol seperti yang dirancang sebelum ini.

Atas faktor tertentu, mereka hanya meneruskan latihan tanpa sebarang pertandingan dan situasi itu mendatangkan kesukaran untuk mengekalkan momentum yang dibina ketika temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018, April lalu.

Lantas, peluang untuk menyertai kejohanan jemputan di Jepun pada awal Ogos nanti perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mencari rentak terbaik.

"Selepas pulang dari Gold Coast, kami melalui sesi perlawanan persahabatan dan sepatutnya akan bergerak ke Sepanyol tetapi berdepan sedikit masalah. Saya tidak pasti sebab sebenar dan jurulatih ada memberitahu bahawa ia akan diusahakan.

"Sebaik berakhirnya perayaan Aidilfitri nanti, kami akan ke Jepun dan mengikuti program oleh jurulatih."