Skuad ragbi 15's hampiri tahap terbaik -- Nyuk Fah

Oleh Staff Writer 18 April 2018 1051
Skuad ragbi 15's hampiri tahap terbaik -- Nyuk Fah
Ketua jurulatih skuad ragbi negara, Lee Nyuk Fah, menganggap pasukannya kini semakin menghampiri tahap terbaik dalam persediaan menghadapi Kejohanan Asia Premier 2018 selepas mudah mengatasi pilihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu perlawanan ujian.

Aksi itu yang berlangsung di padang Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini, sememangnya sudah dijangka akan memihak kepada skuad negara.

Ia merupakan lanjutan kepada kem latihan pusat selama dua minggu yang diharungi anak didik Nyuk Fah di New Zealand, bulan lalu.

Hasilnya, Malaysia memperoleh kemenangan 69-8 dengan 11 try keseluruhan dalam perlawanan itu.

Jelas Nyuk Fah, dia akan memutuskan senarai akhir 23 pemain untuk menyertai Kejohanan Asia Premier.

"Untuk aksi ini, apa yang penting adalah kami mencuba struktur permainan, terutama bahagian serangan dan pertahanan. Jadi, ia bagus buat kami, lebih-lebih lagi dalam membina kecergasan pemain. 

"Kami akan menyenaraikan seramai 23 pemain esok untuk aksi Asia Premier," katanya.

Pertemuan dengan pilihan ATM itu turut menyaksikan kemunculan semula pemain profesional negara, Marc Le.

Ternyata dia tidak mengecewakan dengan memperoleh dua try dan dijangka memainkan peranan penting susulan ketiadaan seorang lagi pemain profesional, K. Dhineshvaran, yang masih menjalani rawatan pemulihan berikutan kecederaan tangan.

Sementara itu, Nyuk Fah ingin melihat skuad negara terus mengukuhkan kekuatan mental mereka menjelang aksi pembukaan berdepan Korea Selatan di Stadium Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, 28 April ini.

"Apa yang penting ketika ini adalah segala perancangan berjalan lancar. Mental pemain juga menjadi teras utama yang perlu diambil berat oleh mereka. 

"Mereka juga perlu mengelak daripada sebarang kecederaan dalam aksi terakhir pada 28 April depan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen