Skuad olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK) menerima imbuhan RM20,000 daripada kerajaan negeri berikutan pencapaian cemerlang dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 di Johor, baru lalu.

Dalam temasya itu, kontinjen Perak meraih sembilan pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa.

Malah, atlet Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, muncul Olahragawan kejohanan itu dengan mencipta tiga rekod baru ketika meraih tiga pingat emas.

Azeem, 15, diiktiraf remaja terpantas kategori B-16 di dunia dalam acara 200 meter menerusi catatan 21.24 saat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How, menyampaikan insentif itu dalam satu majlis khas di Pusat Kecemerlangan Ko-Kurikulum, Jabatan Pendidikan Perak, hari ini.

Chuan How dalam ucapannya berharap atlet muda Perak mencontohi pencapaian Azeem dan tidak hanya berfikir untuk mencapai kecemerlangan dalam Sukan Malaysia (Sukma).

"Jangan hanya tetapkan sasaran untuk berjaya dalam Sukma semata-mata.

"Saya mahu melihat kejayaan atlet Perak di peringkat tertinggi, termasuk Sukan Olimpik," katanya.

Sehubungan itu, Chuan How berharap ibu bapa turut terbabit dalam sukan bagi membantu pembangunan atlet.