Skuad muda BMX kejar mata di Korea Selatan

Oleh Staff Writer 14 Jun 2019 311
Skuad muda BMX kejar mata di Korea Selatan
Barisan pelumba muda basikal negara sedang menjalani kem latihan di Korea Selatan selama tiga minggu bagi menghadapi kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa BMX, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Ronizam Ismail, menjelaskan seramai enam pelumba telah dipilih untuk menjalani latihan di Incheon berdasarkan prestasi dalam Kejohanan Asia. 

Latihan itu adalah sebagai persediaan untuk mereka menghadapi kejohanan antarabangsa BMX C1 yang turut menawarkan mata untuk menempah slot ke Tokyo. 

Selain Malaysia, negara lain seperti Jepun, Hong Kong, China dan Thailand turut akan mengambil bahagian dalam kejohanan pada 23 Jun itu nanti.

"Mereka akan berlatih di sana di bawah bimbingan pengendali daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan akan dapat proses kejurulatihan yang betul. Aksi di sana juga menawarkan mata UCI untuk ke kelayakan Olimpik, jadi kami sasarkan dua pelumba ke podium," katanya.

Skuad kebangsaan menyasarkan dua pelumba, Ahmad Zuhri Husin dan Eddyna Nasuhar Zainal Abidin, untuk meraih podium dalam kejohanan tersebut. 

"Kami menyasarkan seorang pelumba untuk lelaki dan wanita. Mereka menghantar laporan setiap hari kepada saya dan didapati ada peningkatan daripada aksi Eddyna dalam lima hari sebelum ini sangat memberangsangkan," tambah Ronizam.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen