Jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria, mengharapkan sukan itu diletakkan di peringkat kedua struktur program latihan atlet yang bermula pada 2019 nanti.

Bengkel pembentangan program membabitkan sukan para bersama Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan pada hari ini sehingga esok.

Walaupun tidak menyumbangkan pingat dalam temasya Sukan Para Asia di Jakarta tempoh hari, Marzuki percaya atlet memanah para tidak seharusnya berada di peringkat lebih bawah dalam struktur program latihan baru itu.

Ini kerana atlet memanah normal dijangka berada di peringkat kedua.

"Bersandarkan prestasi dalam Sukan Para Asia 2018, saya berharap skuad memanah para juga ditempatkan dalam struktur program latihan baru nanti.

"Kami sedang cuba merealisasikan impian dalam Sukan Paralimpik 2020 untuk pemburuan kedudukan yang lebih baik," kata Marzuki.

Sementara itu, Marzuki turut menjelaskan prestasi semasa atlet negara dalam Sukan Para Sukan Malaysia (Sukma) di Perak yang bermula 21 November ini turut akan dinilai.

Ia bagi menentukan bentuk latihan yang sesuai sempena menghadapi musim 2019 nanti dengan dua kejohanan utama menjadi tumpuan untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ketika ini, 12 pemanah berada dalam skuad kebangsaan dan mereka akan pulang ke negeri masing-masing pada minggu hadapan bagi persiapan menghadapi temasya Para Sukma 2018.

"Atlet akan pulang mewakili negeri masing-masing bagi menghadapi Para Sukma 2018.

"Dari situ, kami akan terus memantau persembahan atlet dari masa ke semasa sebagai bukti bahawa mereka kekal dalam prestasi yang bagus.

"Langkah ini akan membolehkan kami meletakkan penanda aras kepada atlet baru yang akan diserapkan nanti," ujarnya lagi.