Persekutuan Memanah Kebangsaan (NAAM) akan menghantar skuad kebangsaan ke Kuala Terengganu untuk penyesuaian cuaca berangin bagi mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia di Belanda, bulan depan.

Penyesuaian terhadap cuaca berangin itu merupakan cabaran yang akan dihadapi skuad kebangsaan dalam kejohanan di Hertejenbosh itu.

Sebagai usaha menangani situasi berkenaan, pemanah negara akan menjalani latihan di kawasan berangin di sekitar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu.

NAAM akan menghantar 12 pemanah lelaki dan wanita ke Kejohanan Dunia bagi mencapai sasaran untuk menjadi lapan pasukan terbaik bagi merebut slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dalam Kejohanan Dunia, kami perlu meraih kedudukan lapan teratas untuk layak ke Tokyo 2020.

"Kelayakan acara berpasukan turut akan melayakkan pemanah itu dalam acara individu secara automatik," kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Selain itu, skuad negara turut merancang untuk melayakkan diri dalam kategori baru yang akan dipertandingkan dalam temasya di Tokyo itu, iaitu acara berpasangan campuran.

"Tahun ini merupakan kali pertama kategori berpasukan campuran dipertandingkan.

"Lima pasukan terbaik akan layak ke Sukan Olimpik.

"Kami akan menghantar pasukan untuk merebut 20 pasukan teratas.

"Daripada itu, kami akan berusaha untuk merebut lima tempat teratas," tambah ketua jurulatih skuad negara, Lee Jae-hyung.