Atlet lempar cakera meminta Majlis Sukan Negara (MSN) mempercepatkan pelantikan jurulatih baru selepas jaguh utama, Muhammad Irfan Shamsuddin, yang memantau sesi latihan mereka, tidak turun berlatih sejak semalam.

Irfan banyak bertindak sebagai jurulatih skuad lempar cakera negara sejak Frantisek Petrovic ditamatkan kontrak, 31 Disember lalu.

Pemegang rekod kebangsaan itu sanggup berkongsi pengalaman dengan atlet muda, malah memantau sesi latihan sepanjang ketiadaan jurulatih.

Namun, Irfan tidak berlatih sejak isu mengkritik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tersebar di media sosial, sekali gus meletakkan atlet muda lempar cakera terpaksa berlatih tanpa pemantauan.

"Buat masa ini, kami berlatih di bawah bimbingan Irfan. Walaupun ketiadaan jurulatih, kami meneruskan latihan dan berharap jurulatih yang lebih tetap dapat dilantik untuk memantau persembahan kami," kata atlet lempar cakera, Rahman Lee.

"Ada atau tiada, kami meneruskan persiapan kerana Irfan selalu memberikan pengalaman dan pengetahuan bagi memperbaiki teknik saya," kata atlet lempar cakera, Choo Kang Ni.

Skuad negara dijadual menyertai Kejohanan Olahraga Perak All-Comers, Mac depan.