Tiada istilah rehat buat barisan pemain hoki ais negara meskipun kalendar kejohanan untuk tahun ini sudah tamat, dengan mempersiapkan diri lebih awal menghadapi Sukan SEA Manila 2019 andai sukan itu dipertandingkan.

Tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, masih belum menetapkan sukan yang akan dipertandingkan dan pengumuman penuh hanya dijangka dibuat November depan.

Namun, penggendali kebangsaan, Kristoff Kovago, yakin penganjur akan menyenaraikannya berdasarkan Filipina merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 di samping beberapa negara seperti Thailand dan Indonesia juga menunjukkan sokongan.

Justeru, Kovago tetap mengerah barisan pemain negara meneruskan rutin latihan seperti biasa.

"Kami sudah mulakan persediaan menjelang Sukan SEA kerana masih belum ada pengumuman rasmi sama ada sukan hoki ais tersenarai. Kami amat berharap kerana Filipina telah menjuarai kejohanan, jadi kami berharap mereka akan menyenaraikan hoki ais," katanya.

Kalendar antarabangsa skuad hoki ais negara sudah pun berakhir pada Mac lalu selepas muncul juara divisyen satu Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran.

Kini, rata-rata pemain sedang mempersiapkan diri menghadapi saingan Liga Hoki Ais Kebangsaan yang dijangka bermula pada Oktober depan.

"Secara asas, kami bermula dengan hampir 40 pemain dan perlahan-lahan jumlah itu akan dikurangkan. Kami bakal menganjurkan kejohanan di sini pada penghujung September bagi kanak-kanak dan dewasa.

"Jadi kejohanan tersebut akan digunakan sebagai salah satu kriteria pemilihan. Kami akan beraksi dalam dua perlawanan dan memanfaatkannya untuk pemilihan skuad," katanya lagi