Pasukan boling wanita negara mencipta sejarah dalam Kejohanan Boling Tenpin Dunia di Amerika Syarikat, awal pagi tadi, dengan memenangi emas acara berpasukan wanita menewaskan Singapura dalam final, sekaligus menamatkan penantian selama 10 tahun.

Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan menggegar Arena South Point Bowling Plaza di Las Vegas, Amerika Syarikat menerusi kejayaan bersejarah.

Ia susulan kemenangan dalam aksi final acara berpasukan wanita dalam Kejohanan Dunia menewaskan pasukan pilihan, Singapura, dengan 214 berbalas 209 jatuhan pin dalam game pertama dan 188-177 jatuhan pin dalam game kedua.

Terdahulu, skuad boling wanita negara hampir tersungkur kepada Colombia dalam separuh akhir tetapi pengalaman ternyata menjadi senjata utama mereka.

Bertemu Singapura dalam perlawanan penentuan, Singapura yang juga antara pilihan utama apabila menewaskan juara bertahan, Korea Selatan, dalam separuh akhir terperangkap dengan strategi Malaysia.

Kali terakhir skuad boling wanita negera menjulang gelaran dunia ialah pada 2007 di Mexico.