Siri jelajah boling tenpin di Eropah menjadi pengganti kepada Kejohanan Jelajah PWBA Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kelangsungan skuad wanita menghadapi Kejohanan Boling Tenpin Wanita Dunia di Las Vegas, Ogos depan.

Antara pemain dalam skuad wanita yang menyimpan aspirasi menyinar di Las Vegas adalah Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Lazimnya, skuad boling negara akan berkelana ke AS bagi mendapatkan persiapan berkualiti.

Bagaimanapun, peralihan ke saingan di Eropah atas dasar pengurangan dana akan tetap dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Saya faham dengan kedudukan skuad boling tenpin ketika ini.

"Jadi, (siri jelajah Eropah) sudah mencukupi, iaitu dua kejohanan di Bayern selain Terbuka San Marino sebelum kami menghadapi Kejohanan Dunia.

"Jelajah PWBA AS melibatkan ramai pemain profesional, berbeza dengan siri jelajah boling Eropah dan dalam masa yang sama, jadual di antara kejohanan ini bertembung," ujar Syaidatul.

Difahamkan, penglibatan skuad negara dalam jelajah Eropah itu akan bermula pada Mac depan di Jerman menerusi Cabaran Euro Brunswick.

Malah, persiapan ke Kejohanan Dunia juga dimulakan lebih awal menerusi latihan pusat skuad negara.

"Kami baru memulakan program. Kami sudah mula memasuki teknik balingan yang berbeza berbanding minggu lepas.

"Kami perlu membuat persediaan untuk menghadapi lorong yang berbeza-beza.

"Kali ini, jurulatih membuat persediaan lebih awal," katanya lagi.