Skuad boling tenpin kebangsaan cuba pendekatan baru 

Oleh Staff Writer 15 Januari 2020 61
Skuad boling tenpin kebangsaan cuba pendekatan baru 
Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok, mahu membentuk kaedah latihan baru sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan penting tahun ini.

Ia merupakan satu inisiatif baru badan induk itu selepas melihat lebih mendalam masalah yang dihadapi barisan atlet negara sebelum ini.

Pembaharuan itu turut dilakukan sebagai langkah persiapan untuk skuad negara mendominasi Kejohanan Asia di Hong Kong, Julai depan, dan Kejohanan Boling Tenpin Perseorangan Dunia, yang berlangsung setiap empat tahun, November depan.

Tambahnya, MTBC bakal mengadakan mesyuarat bagi membincangkan program 2020 selepas selesai menjalankan bedah siasat terhadap kegagalan dalam Sukan SEA Filipina 2019, semalam.

"Banyak perubahan akan dilakukan daripada segi corak latihan dan fokus pemain. 

"Kami lebih tumpukan kepada aspek melakukan balingan yang baik ketika beraksi di bawah tekanan. 

"Dalam Sukan SEA lalu, saya menyaksikan pemain mula tertekan apabila berdepan lorong yang rumit. 

"Jadi, kami akan berlatih di lorong yang tertentu. Saya harap prestasi mereka akan bertambah baik," katanya di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya. 

Dalam masa sama, Maradona berharap skuad boling negara sempat untuk menyertai Kejohanan Brunswick Eropah 2020 pada awal Mac depan sebelum menghadapi Terbuka Malaysia.

"Kami akan memulakan kempen pada Mac depan. 

"Jadual kami masih samar-samar dan ia akan ditetapkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja hujung bulan ini."



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen