Ketua pasukan bola tampar negara, Cheoh Jia Ming, tidak panik walaupun sukar untuk menewaskan skuad pembangunan 3-1 untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Pra-Sukan SEA di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Malaysia mempamerkan aksi kurang meyakinkan untuk memburu pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan.

Beberapa pemain simpanan tidak konsisten ketika diturunkan dalam perlawanan ketiga liga di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, Shah alam.

Namun, ketua pasukan negara tetap tenang, apatah lagi mereka layak ke final dengan baki satu perlawanan liga.

"Pada awalnya kami mempamerkan corak permainan yang baik tetapi sebaliknya pada penghujung permainan.

"Apapun, kami berjaya mencapai kemenangan.

"Dengan itu, saya harap kami dapat memperbaiki tahap tumpuan dan mental," katanya.

Malaysia menang mudah dalam dua set awal 25-13 dan 25-14.

Dalam set keempat, Malaysia memasukkan semula pemain senior, sekaligus memudahkan tugas mengesahkan kemenangan 25-20 untuk layak ke final.

"Kami akan ke Taiwan selepas ini dan akan bersedia untuk Sukan SEA," ujar jurulatih negara, Tay Yiu Seong.