Saingan pra-kelayakan Piala Asia 2021 akan menjadi ujian pertama skuad bola keranjang lelaki negara sejak berada di bawah program badan profesional, NS Matrix.

Susulan kegagalan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bekerjasama rapat dengan NS Matrix bagi membangunkan semula program skuad lelaki.

Enam negara akan beraksi saingan round robin di Bangkok, Thailand dari 26 hingga 30 Jun ini, dengan empat pasukan terbaik akan layak ke peringkat berikutnya dalam fasa pra-kelayakan ini.

"Bagi saya, memang ini adalah pasukan kita yang terkuat pada waktu ini. Saya percaya mereka berlatih dengan bertungkus-lumus. Saya yakin, pasukan kita akan layak," kata Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng.

Sin Heng yang juga bekas ketua jurulatih negara turut berasakan saingan ini adalah peluang terbaik untuk mengembalikan maruah bola keranjang Malaysia dalam kalangan seteru Asia Tenggara.

Dalam temasya KL 2017 skuad lelaki tersingkir di peringkat kumpulan berbanding skuad wanita yang mempertahankan pingat emas.

"Pasukan kelima dan keenam itu jarang-jarang bertanding. Saya cukup yakin kami boleh mengalahkan mereka tetapi sasaran kami bukan setakat itu.

"Kami ada peluang untuk bertanding dengan Thailand, Indonesia dan Singapura. Ini adalah peluang terbaik untuk melihat di mana kita berada. Saya ada keyakinan kita boleh melakukan sesuatu," kata Sin Heng lagi.