Dibarisi pemain dari seluruh pelosok tanah air, skuad wanita negara mempamerkan prestasi membanggakan dalam Kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa di Taiwan minggu lalu.

Beraksi buat kali pertama jelas tidak menjadi satu masalah buat pasukan kebangsaan apabila mengalahkan lawan yang menduduki ranking ke-10 dunia, Hong Kong, 8-4 dalam pusingan "round robin".

Bagaimanapun, perjalanan Malaysia terhenti apabila tewas 5-7 di tangan jaguh dunia, Jepun, di peringkat suku akhir.

"Ini adalah pengalaman pertama dalam kejohanan antarabangsa buat pasukan wanita negara. Alhamdulillah, mereka mempamerkan aksi positif. Lebih membanggakan, ada satu perlawanan kami mampu menang," kata ketua jurulatih negara, Sazali Husain.

Dalam masa sama, walaupun sukan tersebut digugurkan bagi saingan Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November depan, skuad besbol wanita negara tetap akan meneruskan latihan bagi pusingan kelayakan Piala Dunia di China, November depan.

"Kejohanan ini sangat penting buat pasukan bagi memastikan kami tahu tahap sebenar serta peningkatan yang perlu kami lakukan menjelang saingan Piala Asia November depan."

Untuk rekod, Malaysia memenangi dua anugerah individu, iaitu Pemain Paling Bernilai dan "Best Play" ketika Kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa "Blueseeds Cup".