Susulan isu doping terbaru yang terus melanda sukan angkat berat, Majlis Sukan Negara (MSN) kini dalam perancangan bersama Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) melakukan ujian doping secara berkala dengan kekerapan sebulan sekali.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berkata perkara itu dalam perhatian pihaknya selepas pelbagai langkah seperti pendidikan tentang doping gagal memberi kesan.

Sehubungan itu, satu langkah pencegahan yang lebih tegas perlu dilakukan bagi membendung isu doping melibatkan atlet angkat berat yang tampak semakin kritikal.

Namun, MSN masih menunggu kata putus daripada ADAMAS tentang sejauh mana keupayaan mereka mengendalikan jumlah ujian doping setiap bulan.

"Kami sudah berbincang dengan ADAMAS untuk mengadakan doping berkala menjelang sesebuah kejohanan.

"Kami berasakan doping perlu dilakukan lebih kerap untuk memastikan ia lebih besar daripada bahan terlarang," kata Jefri.

Dalam perkembangan sama, jurulatih angkat berat, Nicholas Wong, menyambut baik cadangan itu selepas mengambil kira banyak faktor yang berlaku.

Ia dilihat sebagai langkah pencegahan selepas kecewa satu demi satu karier atlet di bawah bimbingannya musnah ekoran pengambilan bahan terlarang.

"Tiada masalah kalau ujian doping kerap diadakan. Apa yang lebih penting adalah pendedahan pengetahuan mengenai perkara ini," kata Wong.