Lindsey Vonn mengakhiri karier gemilangnya dengan pingat gangsa dalam acara downhill Kejohanan Ski Dunia FIS Alpine semalam sambil Ilka Stuhec mempertahankan kejuaraannya dalam perlumbaan beremosi di Are, Sweden itu.

Vonn, paling diingati sebagai bekas teman wanita legenda golf, Tiger Woods, mengumumkan persaraannya gara-gara rentetan kecederaan dan pembedahan yang tidak memungkinkannya untuk terus bertanding.

Hanya seminggu lalu, pelumba ski wanita paling berjaya sepanjang zaman itu, terjatuh dan cedera dalam acara Super-G, namun dia berazam untuk berlumba dalam acaranya semalam buat kali terakhir.

Berlawanan dengan kesakitannya, atlet berusia 34 tahun itu ternyata sangat kompetitif dalam perlumbaan penamatnya itu untuk mendahului buat seketika dengan mencatat 1 minit 2.23 saat di laluan yang dipendekkan di sebalik permulaan yang perlahan.

Vonn, yang melakar sejarah dengan 82 kemenangan dalam Piala Dunia, berupaya menangkis saingan juara downhill Olimpik, Sofia Goggia, tetapi mendapati Stuhec 0.49 saat lebih pantas daripadanya.

Pendahulu dalam Piala Dunia ketika ini, Nicole Schmidhofer, gagal menyaingi tiga peserta teratas dan Corinne Suter -- pemenang gangsa dalam Super-G – adalah satu-satunya atlet lain yang lebih pantas daripada Vonn.

Namun, Vonn kekal selaku peserta wanita tertua memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia di samping menjadi atlet ski wanita pertama untuk meraih pingat dalam enam edisi kejohanan berkenaan.

Sambil itu, Stuhec adalah atlet ski wanita pertama untuk mempertahankan gelaran juara dunianya sejak Maria Walliser kali terakhir melakukannya pada 1989.

“Ia sangat menyeronokkan,” kata Vonn selepas perlumbaannya. “Saya tidak pernah berasa lebih gemuruh daripada ini sepanjang hayat saya,” tambahnya kepada Eurosport.

“Saya berazam menuruni cerun untuk mendahului buat kali terakhir dan mendengar sorakan penonton.

“Saya benar-benar mengerah diri saya dan bimbang juga sedikit keterlaluan hingga boleh membuat saya terjatuh – itu harus menjadi igauan terburuk saya.

“Pingat gangsa ini memberikan saya cenderahati perpisahan,” katanya.