Persatuan Karate Sabah (SKA) gembira dengan prestasi ditunjukkan Pressy Misty Philip apabila menyumbang pingat perak untuk negara dalam Kejohanan Kadet Remaja B-21 AKF kali ke-17 di Okinawa, Jepun, baru-baru ini.

Setiausaha Agung SKA, Julian Chin, berkata kejayaan itu sangat bermakna bagi mereka, namun mengakui masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Prestasi yang ditunjukkan Pressy sangat bagus, terutama kerana lawannya dalam final adalah atlet berpengalaman.

"Saya telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang akan kami akan perbaiki segera," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Pressy yang memenangi pingat emas dalam kejohanan kebangsaan pada Mac lalu mempamerkan aksi baik, namun terpaksa akur dengan kekalahan 2-4 kepada atlet Kazakhstan, Alexandra Budkina, dalam final kategori bawah 68kg wanita.

Terdahulu, Pressy menewaskan atlet dari India, Sameeksha, dan atlet Jepun, Mizuki Kikuchi, sebelum layak ke final.

Dalam kejohanan itu juga, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kelima selepas mengutip dua emas, satu perak dan lima gangsa.