Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, mahu mengukuhkan status selaku pengganti legasi Datuk Nicol Ann David dalam Kejohanan Kebangsaan dan Terbuka Australia, bulan depan.

Pemain muda itu ketika ini bercuti daripada mengikuti pengajian di Amerika Syarikat tetapi tidak mahu melepaskan peluang untuk mempertahankan gelaran juara kebangsaan musim ini.

Dia yang tewas dalam separuh akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019 bertekad untuk melakar lebih banyak kejayaan musim ini di pentas Kejohanan Kebangsaan dan Terbuka Australia bulan depan.

"Jelas sekali kini Datuk Nicol sudah bersara, jadi banyak perkara yang berlaku. Saya harap dapat mengambil alih tempatnya dan menggantikan legasi itu," katanya.

Sementara itu, pemain yang berada di ranking ke-49 dunia itu mengakui tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan tahap kecergasannya meskipun terpaksa membahagikan masa di antara pengajian dan latihan intensif.

Sivasangari mahu menggunakan masa yang ada untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dalam misi memperbaiki rankingnya.

"Sekarang, saya baru kembali daripada tempoh rehat, jadi saya mahu fokus kepada Kejohanan Kebangsaan serta Terbuka Australia, kedua-duanya bulan depan. Saya menambahkan latihan setiap hari."