Sivasangari, Ivan ungguli Kejohanan Skuasy Kebangsaan

Oleh Staff Writer 8 Julai 2018 437
Sivasangari, Ivan ungguli Kejohanan Skuasy Kebangsaan
Pemain negara, S. Sivasangari, terus mengukuhkan status selaku pengganti sebenar legasi Datuk Nicol David apabila muncul pemain paling muda menjuarai Kejohanan Skuasy Kebangsaan pada usia 19 tahun.

Bagaimanapun, pertembungan sengit lima set diperlukan untuk memisahkan Sivasangari dan bekas pemain nombor dua Malaysia, Low Wee Wern.

Wee Wern, yang kembali beraksi dalam saingan kompetitif selepas 20 bulan tersisih gara-gara kecederaan lutut yang serius, terlebih dahulu memenangi set pertama 11-9. 

Namun, kekalahan itu ternyata membuatkan Sivasangari lebih membara untuk merampas dua set berikutnya 11-7 dan 11-9, sebelum Wee Wern kembali menyamakan kedudukan dalam set keempat dengan kemenangan 11-4.

Kemenangan yang diraih akhirnya dinikmati Sivasangari setelah berupaya memutlakkan kejuaraan dengan keputusan 11-7 dalam set penentuan.

"Saya rasa bagus dan amat gembira dapat memenangi kejohanan ini. Wee Wern menampilkan permainan hebat pada hari ini. Dalam masa sama, saya rasa terlalu banyak tekanan yang hadir daripada diri sendiri," kata Sivasangari.

"Kemenangan dalam set pertama sangat penting, ia menambah keyakinan. Wee Wern bermain sangat baik tetapi secara keseluruhan, saya rasa bagus."

"Selepas tersisih dalam tempoh yang lama, saya tidak tahu apa yang patut dijangkakan. Saya rasa permainan saya semakin baik. Lebih banyak perlawanan diperlukan untuk saya kembali ke prestasi asal," ujar Wee Wern.

Sementara itu, final lelaki yang merupakan ulangan edisi 2017 mempertemukan dua pemain terbaik negara ketika ini, Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen, yang merupakan juara bertahan.

Kemenangan 11-6 dalam set pertama yang diraih Ivan jelas tidak mematahkan semangat Nafiizwan untuk bangkit memenangi set kedua 14-12, sebelum Ivan kembali meletakkan diri di depan menerusi keputusan 11-9 dalam set ketiga.

Ivan ketinggalan ketika babak awal set ketiga sebelum menyamakan kedudukan 9-9 dan mengesahkan kemenangan menerusi kedudukan 11-9.

"Nafiizwan adalah rakan sepasukan saya selama beberapa tahun dan dia seorang pemain yang bagus serta lebih berpengalaman berbanding saya. Dia sentiasa menjadi lawan yang sukar dan saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan. 

"Saya gembira dapat terus berkembang dalam permainan dan diharapkan prestasi pada hari ini dapat dikekalkan dalam saingan Sukan Asia 2018 nanti," kata Ivan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen