S. Sivasangari muncul sebagai wakil wanita tunggal negara dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia setelah menundukkan rakan senegara, 11-9, 11-4, 11-3 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir, petang tadi.

Selepas pilihan kedua dan juga harapan utama negara, Rachel Arnold, tewas di tangan Satomi Watanabe 11-6, 11-7, 11-3, ternyata Sivasangari memegang tanggungjawab besar untuk meneruskan cabaran negara.

Bagaimanapaun, dia memastikan tempatnya dalam separuh akhir walaupun berdepan tentangan sengit seorang lagi wakil kebangsaan, Aifa Azman, sebelum memenangi set pertama 11-9.

Ibarat hilang tumpuan, Aifa gagal memperbaiki aksinya dalam set seterusnya, memberikan ruang buat Sivasangari untuk terus mendominasi dua set seterusnya sebelum memenangi baki perlawanan 11-4 dan 11-3.

“Perlawanan pertama memberikan kami keyakinan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Saya rasa aksi dalam set kedua dan ketiga, saya hanya memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Sementara itu, cabaran sebenar negara terletak di tangan Ng Eain Yow apabila dia turun bertemu wakil Mesir, Mazen Gamal, bagi kategori lelaki.

Dia sedar bakal berdepan rakan senegara, Ivan Yuen, jika melangkah ke separuh akhir dan Eain Yow membuktikan kesungguhannya apabila memenangi set pertama 13-11.

Dia menimbulkan resah buat penyokong-penyokong Malaysia selepas tewas 3-11 dalam set kedua tetapi berjaya menunjukkan kebangkitan apabila kembali di landasan kemenangan dalam set ketiga dengan mata 11-6 dan memastikan tempat dalam separuh akhir dengan pungutan mata 11-1 menewaskan Mazen dalam set keempat.

“Saya tidak dapat memberikan reaksi yang positif ketika peringkat awal tetapi lega berjaya bangkit dalam set ketiga dan keempat.

“Saya berjaya membuktikan bahawa jika anda benar-benar mahu menang, anda akan mendapatkannya,” ujar Eain Yow.