Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, kini berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan pertama dalam Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain Jepun, Satomi Watanabe, 3-1 dalam separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Keazaman Sivasangari untuk ke peringkat akhir diterjemahkan dengan corak permainannya yang kemas dan konsisten daripada pemain berusia 18 tahun itu.

Sivasangari yang turun beraksi dengan status pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nyata tidak menghampakan sejak set pembukaan dan cemerlang menumpaskan cabaran Watanabe, namun dikejutkan dengan kebangkitan pemain Jepun itu yang memenangi set kedua 11-6.

Bagaimanapun, dua set seterusnya jelas menjadi milik Sivasangari apabila dia memperkemaskan permainan untuk mengungguli perlawanan tersebut.

Hakikatnya, Watanabe melakukan banyak kesilapan mudah untuk memberikan kelebihan kepada Sivasangari mencuri mata demi mata, sekaligus melangkah ke final hasil kemenangan 11-8, 6-11, 11-2, 11-7.

"Perlawanan hari ini sangat sengit. Saya pernah bertemu Satomi beberapa kali sebelum ini dan ia pasti tidak akan menjadi perlawanan yang mudah.

"Saya rasa hari ini menguji kekuatan mental dan saya gembira dapat layak ke final," katanya.

Sementara itu, bagi kategori lelaki, Ng Eain Yow turut mengesahkan tempat ke final selepas menumbangkan cabaran rakan sepasukan, Ivan Yuen, 3-2.

Selepas memenangi set pertama, Eain Yow gagal mengawal tempo permainan sehingga menyebabkan Ivan mudah memenangi dua set seterusnya.

Sedar dengan kebangkitan yang dipamerkan oleh lawan, Eain Yow kembali memperkemaskan permainannya untuk memenangi set keempat 11-9 dan kecemerlangan itu diteruskan dalam set penentuan yang sengit apabila menang 12-10.