Bekas pelari pecut negara, Siti Zubaidah Adabi, kembali memanaskan trek olahraga selepas bersara sejak lima tahun lalu apabila mendapatkan sentuhan jurulatih, M. Balamurugan, menjelang Sukan SEA di Filipina tahun depan.

Zubaidah kembali selepas melahirkan tiga cahaya mata.

Pelari tinggi lampai berkenaan memiliki catatan peribadi terbaik 11.81 saat dan dilihat masih mampu menggalas cabaran negara.

Sesi latihan di trek Majlis Sukan Negara Bukit Jalil hari ini menyaksikan pelari kelahiran Johor tersebut komited untuk membuat penampilan semula terutama bagi mencabar ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Bagaimanapun, dia enggan ditemubual.

"Dia seorang atlet yang bagus.

"Selepas berkahwin pada 2013 dan mempunyai anak, dia memutuskan untuk kembali pada tahun ini.

"Dia baru memulakan latihan dan dia akan mula menyertai pertandingan pada tahun hadapan.

"Dia mungkin akan mengisi kuartet 4x100m wanita kerana kami kekurangan calon," kata Balamurugan.

Malaysia pernah memiliki pelari pecut wanita berbakat sekitar 2010.

Selain Zubaidah, turut bersaing ketika itu Nurul Sarah Abd Kadir, Nur Jannah Hafiszah Jamaluddin dan Yee Yi Ling.

Namun, mereka berpecah apabila dilanda isu doping pada 2012 sebelum Zubaidah membuat kemunculan semula di Bukit Jalil.