Pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, enggan tersilap langkah dalam membuat keputusan untuk beralih kelas menjelang Kejohanan Pencak Silat Dunia di Singapura, Disember depan.

Ia berikutan kekecewaan yang masih memberi kesan dalam dirinya selepas tewas dalam suku akhir Sukan Asia 2018 bagi kelas D Puteri.

Kelas D Puteri ibarat masih baru untuk dirinya selepas kali pertama beraksi dalam kategori itu dalam Sukan SEA 2015 dan kali terakhir di Jakarta, Ogos lalu.

Kini, Siti Rahmah perlu membuat keputusan tepat sama ada ingin kekal dalam Kelas D Puteri atau beralih kepada kategori lama, Kelas E Puteri, yang telah memberinya gelaran juara dunia sebanyak tiga kali.

"Saya masih tercari-cari. Kesan Sukan Asia terlampau dalam buat diri saya tetapi semangat ingin menebusnya juga membara. Saya harus berhati-hati dan perlu berbincang dengan jurulatih serta pengurus kerana kadangkala saya juga tidak nampak akan kekurangan yang ada," katanya.

Sudah bebas daripada kecederaan patah tangan kiri sepenuhnya, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu kini fokus kepada teknik dan corak latihan baru selepas menyedari pergerakan skuad pesilat negara selama ini terlalu mudah dibaca oleh pihak lawan.

"Saya cuba menambahbaik aspek fizikal, teknikal serta taktikal. Semua maklum bahawa Malaysia telah diintai dan dikaji oleh pencabar lain.

"Jadi, saya rasa lebih baik fokus untuk meningkatkan kualiti yang ada."