Kecederaan patah lengan kiri memberi kerisauan kepada jurulatih silat negara, Nasri Nasir, terhadap Siti Rahmah Mohd Nasir yang baru selesai menjalani pembedahan minggu lalu.

Siti Rahmah, yang dilihat sebagai tonggak utama negara bagi Sukan Asia Indonesia 2018, kini sedang menjalani proses pemulihan apabila lengan kirinya patah dalam aksi final Terbuka Belanda, bulan lalu.

Melihat kepada situasi itu, Nasri enggan mengambil mudah kecederaan yang dialami oleh juara dunia 2016 itu, sebaliknya harus berdisipilin dalam menjaga kecergasan kerana tidak mahu persiapan ke Sukan Asia terjejas.

Kejohanan pra-Sukan Asia pada Februari 2018 juga mungkin terpaksa dilupakan untuk mengelak risiko kecederaan lanjutan.

"Dia baru sahaja selesai menjalani pembedahan. Siti Rahmah kini dalam proses pemulihan dan saya berharap segala-galanya berjalan lancar," kata Nasri.

Skuad silat negara masih tiada rehat yang panjang selepas berakhir Sukan SEA, Ogos lalu.

Mereka baru pulang dari Belanda minggu lalu dengan empat pingat emas yang dimenangi daripada kejohanan itu dan bakal ke Cameron Highlands hujung bulan bagi kem latihan.

"Saingan di Belanda merupakan kejohanan terakhir buat skuad negara dan kami telah berjaya mencapai sasaran untuk muncul juara keseluruhan.

"Selepas ini, pesilat negara akan membuat persiapan daripada segi fizikal dan teknikal menghadapi kejohanan tahun depan," katanya.