Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, tidak menganggap kedudukannya dalam kluster pertama Sistem Tiering sebagai jaminan selagi belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialaminya sejak Julai lalu.

Jun Hoong adalah antara empat atlet yang terpilih untuk berada dalam kluster pertama selain Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Datuk Lee Chong Wei.

Ia sebagai persediaan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Juara dunia edisi tahun lalu itu tidak menolak untuk menggalas tanggungjawab besar apabila diberi kepercayaan membawa misi pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Dengan tahap kecergasannya yang masih belum berada di tahap terbaik, dia memerlukan masa yang panjang untuk mencari rentak terjunan selepas lima bulan meninggalkan kolam terjun.

"Saya rasa bersyukur kerana masih diletakkan dalam program kebangsaan.

"Dalam masa sama, saya berasakan beban untuk memikul tugasan itu memandangkan tahap kecergasan yang masih belum pulih.

"Saya perlu berusaha keras dan sebagai seorang atlet, tugas kami adalah berlatih bersungguh-sungguh untuk membawa nama negara," katanya.

Dalam pada itu, atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, gusar dengan program latihan yang bakal diharunginya tahun depan selepas diletakkan dalam kluster keempat.

Dia yakin peruntukan untuk atlet yang tidak berpotensi meraih pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 akan berkurangan.

"Saya agak risau kerana beraksi dalam sukan individu.

"Peruntukan untuk kami berkemungkinan dikurangkan dan saya mungkin akan terlepas beberapa kejohanan tahun depan," katanya.