Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan lebih 500 atlet dan jurulatih tersenarai dalam Sistem Tiering yang akan menggantikan Program Podium dengan empat ikon sukan negara menerajui kluster pertama.

Seramai 434 atlet dan 95 jurulatih daripada 26 jenis sukan disenaraikan untuk menyertai program baru itu.

Bagaimanapun, hanya empat atlet terpilih untuk berada dalam kluster pertama, iaitu Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong (terjun), Azizulhasni Awang (berbasikal trek) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton) bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kluster ketiga pula mencatatkan jumlah atlet paling ramai, iaitu 231 atlet, dengan majoriti tertumpu kepada Sukan SEA Manila 2019.

Kluster kedua hanya melibatkan 80 atlet dan kluster keempat 119 atlet.

"Atlet-atlet yang terlibat dalam Program Podium sebelum ini kebanyakannya diserap masuk dalam program baru itu.

"Memang ada segelintir yang digugurkan ekoran kecederaan berpanjangan dan tidak dapat bertanding di peringkat antarabangsa," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Kesemua atlet dan jurulatih terlibat akan ditawarkan kontrak bermula awal tahun depan.

Sebarang pertambahan atau pengurangan jumlah atlet dan jurulatih akan melalui proses penilaian yang bakal dilaksanakan setiap empat hingga enam bulan.

"Perkhidmatan sains sukan dan perubatan daripada pihak ISN masih dikekalkan.

"Cuma aspek pengurusan dipindahkan kepada pihak MSN.

"Secara keseluruhan, program ini dijalankan melalui kerjasama MSN, ISN dan persatuan-persatuan sukan.

"Ia tidak banyak berbeza dengan program sebelum ini," tambahnya.