Suhana Sofia Mohd Adam Das memastikan rekod bersih dalam Sirkit Kebangsaan 2018 apabila muncul juara perseorangan wanita di Pusat Tenis Nasional, Jalan Duta, hari ini.

Selepas mengungguli pusingan pertama Sirkit Kebangsaan, Suhana terpaksa melupakan aksi pusingan kedua disebabkan tugasan di luar negara.

Tetapi dia memastikan kesempatan beraksi dalam pusingan ketiga dimanfaatkan sebaik mungkin, apatah lagi sudah ke final.

Menentang Tara Afzakirad, Suhana, bagaimanapun, dipaksa mengerah keringat sebelum menang 6-3, 6-3.

"Lawan saya agak konsisten sepanjang perlawanan tetapi saya amat gembira di atas kemenangan ini," katanya.

Bagi Suhana, kemenangan itu membawa erti besar dalam usaha untuk memburu reputasi sebagai yang terbaik di Malaysia dalam saingan wanita.

"Sukar untuk mempertahankan gelaran kerana saya perlu mengekalkan tahap prestasi terbaik dan sangat gembira di atas kejayaan ini," katanya lagi.