Ahmed Deedat Abdul Razak membuktikan dia masih pemain terbaik Malaysia meskipun tidak berada dalam program sepenuh masa Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) apabila mengungguli final pusingan ketiga Sirkit Kebangsaan di Pusat Tenis Nasional, Jalan Duta, hari ini.

Khidmat pemain senior seperti Deedat dan Syed Agil Syed Naguib hanya diperlukan apabila ada tugasan skuad kebangsaan -- berbeza dengan bakat remaja, Christian Didier Chin, yang berada dalam program sepenuh masa LTAM.

Hakikat ini tidak melunturkan semangat Deedat apabila memastikan gelaran kebangsaan menjadi miliknya.

Final mempertemukan dia dengan wakil Johor, Muhd Ashaari Zainal Abidin, dengan Deedat meraih kemenangan straight sets 6-2, 6-0.

"Latihan berjalan seperti biasa, kejohanan ini tidak memberikan saingan yang sengit berbanding sebelum ini. Saya agak terkejut di atas kemenangan ini ketika saya kekurangan waktu bermain," katanya.

Deedat, bagaimanapun, tetap memberi sokongan kepada pemain remaja negara untuk mencapai ke tahap yang berupaya untuk menewaskan mereka.

Ini memandangkan mereka kurang pengalaman berbanding pemain senior.

"Nasihat saya adalah terus berkerja keras dan cuba memberikan persembahan terbaik ketika beraksi di gelanggang," katanya lagi.