Gara-gara terjunan kedua yang kurang sempurna, Pandelela Rinong terlepas pingat gangsa acara 10 meter platform individu Siri Terjun Dunia FINA 2018 di Beijing, China, sebentar tadi.

Selepas kegagalan Cheong Jun Hoong menempatkan diri ke final, cabaran negara bersendirian digalas Pandelela dengan dua penerjun China sedia menantinya.

Pandelela bermula sederhana untuk berada di kedudukan keempat selepas terjunan pertama, begitupun tergelincir ke kedudukan tercorot selepas sekadar memungut 59.45 mata dalam terjunan kedua.

Bangkit dalam terjunan ketiga dengan 72 mata, Pandelela terus memperbaiki terjunan yang melayakkannya memperoleh 78.40 mata untuk berpeluang meraih gangsa.

Dia melakukan terjunan yang baik dalam terjunan terakhirnya untuk menamatkan saingan dengan 353.85 mata.

Dua wakil China ternyata berada di kelas tersendiri apabila mengumpul lebih 400 mata secara keseluruhan.

Penerjun sensasi China, Zhang Jiaqi, tiada masalah untuk menerajui saingan dan meraih emas sementara perak milik rakan senegara, Ren Qian, disusuli penerjun Korea Utara, Kim Kuk Hyang, yang meraih gangsa.