Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib, berpandangan siasatan perlu diteruskan apabila mempersoal motif di sebalik penyebaran video asal membabitkan skuad terjun negara berfoya-foya.

Insiden itu dikenal pasti berlaku pada Februari lalu tetapi video tular itu hanya dimuat naik di sebuah akaun Facebook palsu beberapa hari lalu.

Nazifuddin menawarkan perspektif bahawa perkembangan itu seolah-olah dirancang pihak tertentu ketika skuad terjun menjadi prospek pingat kontinjen negara dalam persiapan ke Sukan Asia 2018.

"Saya mahu mengetahui mengapa perkara ini tular sekarang? Atlet-atlet ini merupakan antara penyumbang pingat kepada negara dalam Sukan Asia yang bakal bermula tidak lama lagi," kata Nazifuddin.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudah menjatuhkan hukuman membabitkan elaun ke atas penerjun yang terbabit.

Pengajaran dalam bentuk ini sahaja tidak memadai dengan skuad terjun perlu mewujudkan persekitaran di luar gelanggang yang lebih sihat seiring dengan latihan berintensiti tinggi yang dilalui mereka.

"Kami perlu menilai perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya lagi.