Sharifah Inani mahu PABM cari dalang sebenar

Oleh Staff Writer 18 Mei 2018 11856
Sharifah Inani mahu PABM cari dalang sebenar
Atlet angkat berat wanita negara, Sharifah Inani Najwa Syed Anuar, menggesa Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyiasat dalang sebenar yang menjadi punca masalah doping yang membelenggu atlet angkat berat negara kebelakangan ini.

Dalang yang dimaksudkan Sharifah Inani merujuk kepada kelibat bekas atlet yang juga merupakan orang dalam PABM sendiri.

Siasatan sehingga akar umbi perlu dijalankan PABM demi memastikan sukan itu kembali bersih daripada belenggu penyalahgunaan bahan terlarang.

"Saya rasa jurulatih tidak akan melakukan perkara sebegini kerana kalau atlet tersebut berdepan masalah, dia juga akan terlibat. 

"Tiada jurulatih yang bodoh untuk menggantung diri sendiri. Jadi, bagi saya, individu yang terlibat adalah atlet atau bekas atlet kerana mereka yang akan menggunakannya," kata Sharifah Inani.

PABM hanya perlu mencari bukti melibatkan "orang kuat" persatuan itu bagi memastikan isu berkenaan tidak lagi membelenggu PABM walaupun hakikatnya nasib persatuan itu masih belum pasti.

Lebih menyedihkan, penglibatan terbaru isu doping membabitkan atlet remaja khabarnya disyorkan atlet senior negara yang membuka jalan pintas untuk menjadi juara.

"Bagi atlet-atlet muda, mereka telah diterapkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil dadah bagi membolehkan mereka bergelar juara dunia.

"Mentaliti mereka sudah diajar begitu. Jadi, dalang segala isu ini harus dicari," tegasnya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen