Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menafikan dakwaan bersekongkol dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasiruddin SM Nasimuddin, menjelang pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM, Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau menjelaskan tidak pernah terlibat dalam mengarahkan pegawainya untuk mengesahkan kelayakan pencalonan mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bertanding sebagai presiden MPM seperti dilaporkan sebuah portal tempatan.

Menurutnya, beliau juga tidak pernah mencampuri urusan pemilihan AGM badan induk sukan para itu seperti yang dinyatakan dalam laporan bertarikh 25 Jun itu.

"Demi menjaga nama baik saya sebagai penjawat awam dan pihak MSN, saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan.

"Saya menegaskan saya sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dalam menjalankan tugas saya sebagai Ketua Pengarah MSN,” katanya.

Khairy, yang juga timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia, bakal mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, merebut jawatan nombor satu persatuan itu Sabtu ini.

Pencalonan Khairy sebelum ini dipertikaikan kerana beliau dikatakan hanya menghantar borang pencalonan selepas tamat tempoh yang sah bagi kerusi nombor satu MPM, apabila penyandangnya, SM Nasarudin, tidak mahu mempertahankan jawatan itu.

Megat D Shahriman Sabtu lalu berpendapat campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) perlu sekiranya MPM tidak dapat menangani isu tersebut.

-- BERNAMA