Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi jaminan MSN akan memberi sokongan penuh buat Khairul Anuar Mohamad dalam memastikan atlet memanah kelahiran Terengganu itu bersedia memberi cabaran meraih pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejayaan muncul naib juara recurve individu lelaki dalam Kejohanan Dunia di Hertogenbosch, Belanda semalam seharusnya memberi motivasi buat Khairul Anuar untuk terus memperbaiki pencapaian di pentas Sukan Olimpik dengan sekurang-kurangnya meraih pingat.

Tokyo adalah penampilan ketiga berturut-turut Khairul dalam Sukan Olimpik selepas edisi 2016 di Rio menyaksikan dia tersingkir dalam pusingan kedua di samping suku akhir dalam temasya London 2012.

Menurut Shapawi, kejayaan atlet itu muncul naib juara dunia juga membuktikan negara tidak ketandusan atlet memanah untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Ini merupakan impak yang positif buat skuad memanah negara. Kejayaan Khairul Anuar akan melonjakkan lagi perkembangan atlet-atlet memanah negara," katanya.

Sementara itu, Shapawi turut optimis pelantikan Datuk Lee Chong Wei sebagai chef-de-mission (CDM) merupakan tindakan wajar dalam menyuntik semangat atlet negara memburu emas sulung di Tokyo nanti.

"Kami menggalakkan penglibatan bekas atlet untuk bersama kontinjen negara menghadapi temasya utama dan mereka mampu menjadi faktor motivasi kepada atlet yang bertanding."

Sementara itu, kejayaan Khairul Anuar membuka mata pemanah pelapis untuk melakukan sesuatu, termasuk merebut tempat dalam skuad senior kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Ketiga di Jerman, bulan depan.

"Kejayaannya amat membanggakan. Sukar untuk menjangkakan dia mampu mencapai ke tahap itu dan ia menjadi motivasi buat saya," kata pemanah negara, Mohd Fitri Mohd Yusuf.

"Khairul menjadi motivasi buat kami barisan atlet muda untuk memberikan saingan kepada pemanah utama negara bagi menyertai kejohanan di luar negara," kata pemanah negara, Nur Amalia Haneesha Mazlan.