Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berharap atlet lain akan mencontohi wakil memanah kebangsaan, Khairul Anuar Mohamad, apabila dia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Khairul Anuar kini berpeluang meraih gelaran juara dunia buat kali pertama selain berjaya menempah satu daripada empat slot individu ke Olimpik 2020.

Shapawi berharap atlet lain juga akan menempah slot ke Tokyo 2020 seawal Khairul Anuar agar MSN mampu merangka perancangan terbaik buat mereka.

"Kami harap atlet lain akan terus gigih berlatih untuk melayakkan diri secara merit dan jika dapat lebih awal, proses persiapan dapat dijalankan lebih selesa dan terancang berbanding menunggu saat-saat akhir," katanya.

Dalam masa sama, Khairul Anuar juga kini dalam usaha mendapatkan slot kelayakan Olimpik bagi kategori berpasukan lelaki yang akan berlangsung di Berlin tahun depan.

"Untuk seterusnya, saya akan terus mengejar kelayakan Olimpik bagi acara berpasukan di Berlin tahun depan. Apa pun, saya tidak boleh hilang fokus kerana masih ada satu lagi misi," ujarnya.

Dia menewaskan Mohamadd Ruman Shana dari Bangladesh 7-3 dalam separuh akhir dan akan bertemu pemanah Amerika Syarikat, Brady Ellison, dalam final lusa.