Datuk Shahrul Zaman Yahya terus diberi mandat untuk menerajui Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) selepas dipilih sebagai presiden badan induk itu bagi penggal 2019-2022.

Shahrul Zaman, presiden penggal bagi 2016-2019, mengekalkan jawatan itu selepas menang dengan kelebihan lima undi, setelah memperoleh 24 undi menewaskan pencabarnya, Presiden Kesatuan Ragbi Kedah, Tan Sri Abdul Halim Karim.

Pemilihan itu diadakan sempena mesyuarat agung tahunan KRM 2019-2022 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), hari ini.

Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan perubahan apabila Velayuthan Tan tidak dicalonkan semula dan jawatan itu menjadi milik Amir Amri Mohamad, yang juga naib presiden KRM bagi penggal lalu.

Presiden Persatuan Ragbi Negeri Terengganu itu memperoleh 26 undi, menewaskan presiden Persatuan Ragbi Kelantan, Datuk Tamunif Mokhtar, yang mendapat 17 undi.

Sementara itu, pengarah pertandingan KRM, Mohamad Fahmy Abd Jalil, memenangi kerusi naib presiden dengan memperoleh 37 undi, mengetepikan penyandang terdahulu, Raimy Mohd Yusof, yang meraih 21 undi.

Selain Mohamad Fahmy, turut memenangi jawatan naib presiden ialah Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya, Mohd Zaki Shahran, yang mendapat 27 undi.

Empat ahli jawatankuasa dipilih daripada 10 calon bertanding pula adalah Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Lee Nyuk Fah (31); pengurus pasukan ragbi tujuh sebelah kebangsaan Sukan SEA 2019, Prof Madya Dr Ahmad Naim Ismail (24); Penolong Setiausaha Kesatuan Ragbi Kuala Lumpur, Mohd Khairulnizam Mohd Isa (22) dan Setiausaha Persatuan Ragbi Labuan, Ahmad Affendy Abdul Razak (21).

Semua undian dilakukan 43 perwakilan dari 18 ahli gabungan seluruh negara.

Keputusan penuh:

Presiden

1. Datuk Shahrul Zaman Yahya - 24 undi

2. Tan Sri Datuk Wira Abd Halim Karim -19

Timbalan Presiden

1. Datuk Tamunif Mokhtar - 17

2. Amir Amri Mohamad - 26

Naib Presiden (2 Jawatan)

1. Raimi Mohd Yusof - 21

2. Mohamad Fahmy Abd Jalil - 37

3. Mohd Zaki Shahran - 27

Ahli Majlis (4 Jawatan)

1. Lee Nyuk Fah - 31

2. Dr. Ahmad Naim Ismail - 24

3. Ahmad Effendy Abdul Razak - 21

4. Mohd Najib Johan - 15

5. Muhammad Najib Hamzah - 12

6. Mohd Ezwan Jamil - 9

7. Idrus Ismail - 13

8. Mohd Norfazreim Imran - 15

9. Mohd Khairulnizam Mohd Isa - 22

10. Nur Suraimee Ahmad - 8

-- BERNAMA