Skuad ragbi 15 sepasukan negara seperti mengulangi tragedi tahun lalu apabila memulakan kempen Kejohanan Ragbi Asia 2019 dengan kekalahan bagi aksi pertama menentang Korea Selatan di Incheon.

Skuad Bunga Raya turun dengan motivasi kelihatan lebih bersedia berbanding tahun lalu, namun tetap tewas 14-52 kepada Korea Selatan.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, menegaskan perlawanan menentang Korea Selatan tahun ini lebih sengit berbanding edisi sebelumnya.

"Saya sendiri berasa bahawa jumlah jaringan agak tidak adil kepada Malaysia kerana ia tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad negara," kata Shahrul.

"Saya berkata demikian kerana melihat aksi semalam agak seimbang. Jika melihat statistik, memang seimbang. Cuma, kami banyak melakukan kesilapan."

Di awal perlawanan, Malaysia berjaya mengejutkan lawan dengan mendahului melalui try Lawrence Petrus pada minit ke-19 tetapi Korea Selatan bangkit semula melalui try Jihoon You, Seong Min Jang dan Myung Jun Lee, sekali gus menamatkan babak pertama 19-7.

Bagi aksi separuh masa kedua, Korea Selatan terus mendominasi perlawanan sehingga Wong Wye Wye berjaya memperoleh try pada minit ke-28.

Menghampiri wisel penamat, Malaysia tetap memberi tekanan terhadap pihak lawan tetapi Korea Selatan mengambil peluang daripada kesilapan skuad Bunga Raya dan menamatkan perlawanan dengan tiga lagi try.