Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, menolak persepsi bahawa pencapaian kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Filipina tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan gara-gara tidak mencapai sasaran 70 pingat emas.

Ia disifatkan satu pengajaran berguna buat MSN serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar tidak menerima bulat-bulat pembentangan yang dilakukan persatuan sukan kebangsaan dalam memutuskan jumlah sasaran pingat temasya.

Sebagai orang lama dalam badan pentadbiran sukan, Mazlan mengakui 70 emas yang disasarkan adalah cukup tinggi dengan mengambil kira pelbagai faktor dan MSN seharusnya meletakkan sasaran yang lebih realistik.

Dengan 56 pingat emas dalam genggaman, ia tidaklah menggambarkan program sukan negara gagal sepenuhnya memandangkan Malaysia pernah mengharungi temasya dwitahunan itu dengan pungutan emas yang lebih rendah.

"Walaupun tidak dapat capai sasaran 70 emas, ia bukanlah yang terburuk seperti yang dikatakan sesetengah pihak.

"Sebelum ini ada yang lebih buruk," katanya.

Mazlan juga melahirkan pandangan agar Persekutuan Sukan SEA (SGF) perlu kembali mematuhi peraturan lama yang dibentangkan pada 2010.

Tuan rumah boleh menentukan penganjuran sukan yang dipecahkan kepada tiga kategori, khususnya kategori sukan lain yang menetapkan tuan rumah hanya boleh menyenaraikan maksimum lapan acara sahaja daripada 14 jenis.

"Ini salah satu masalah yang dihadapi bukan negara kita sahaja, termasuklah oleh atlet-atlet negara lain.

"Ini kerana nasib kedudukan sukan ini belum tentu akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Vietnam 2021.

"Ini menjadi masalah kepada atlet-atlet sukan berkenaan."