Gelaran Grand Slam? Tiada masalah. Pingat emas Olimpik? Terlalu mudah! Menggunakan kereta sorong bayi baru lahir anda? Ya, itulah cabaran terbesar yang pernah dihadapi Serena Williams.

Juara 23 kali kejohanan utama itu yang melahirkan anak pertamanya September lalu, memenangi Terbuka Australia tahun lalu semasa peringkat awal kehamilan.

Williams tidak berada di Melbourne Park untuk mempertahankan gelarannya kerana sedang mendapatkan semula kecergasan penuh selepas kelahiran sukar di mana dia mendedahkan mengalami pembekuan darah setelah anaknya, Alexis Olympia, dilahirkan menerusi pembedahan kecemasan pada 1 September tahun lalu.

Serena sudah melakukan dan menang semuanya dalam dunia tenis tetapi nampaknya beberapa aspek keibuan membuktikan ia lebih sukar untuk dikuasai.

Dia menulis dalam Twitter: "Saya telah menakluki banyak perkara ... pembekuan darah di paru-paru -- dua kali ... pembedahan lutut dan kaki ... memenangi Grand Slam selepas bangkit daripada ketinggalan set penentuan... antara perkara sukar -- tetapi saya mendapati setakat ini yang paling sukar adalah menggunakan kereta sorong bayi! "

Williams dijangka kembali ke gelanggang dalam kejohanan di Madison Square Garden, New York pada Mac sebelum menyertai Terbuka BNP Paribas di Indian Wells.