Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow, berharap tunjuk ajar yang diperoleh daripada ketua jurulatih, Peter Genever, akan berterusan walaupun pengendali itu akan menamatkan tugas secara rasmi 28 Februari ini.

Genever mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad negara atas faktor keluarga tatkala hanya tinggal beberapa minggu lagi buat Eain Yow untuk terus berlatih bersamanya.

Dia kini dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia PSA di Chicago, Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula 23 Februari ini.

"Saya masih jalankan program yang sama dan cuba tingkatkan sesetengah aspek. Jika ke tempat lain, mungkin sukar untuk meneruskan perancangan. Dalam dua minggu ini, saya cuba untuk terus belajar daripadanya," kata Eain Yow.

Sementara itu, Eain Yow tidak berasa janggal apabila hanya sehari sahaja meraikan perayaan Tahun Baru Cina walaupun itu kali pertama dia dapat menyambutnya bersama keluarga dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, dia menganggap pengorbanan itu berbaloi, apatah lagi dia perlu memanfaatkan peluang untuk terus berlatih dengan Genever.

"Bagi orang lain, mungkin pelik. Jiran juga bertanya mengapa berlatih hari ini tetapi itu adalah pengorbanan yang perlu saya lakukan."