Lapan bulan tanpa sebarang kejuaraan meletakkan juara Sukan SEA Kuala Lumpur, Senthil Kumaran, umpama harimau lapar apabila mengetuai skuad muda negara dalam Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) 2018.

Kali terakhir kelibat Senthil ditabal juara adalah ketika mengungguli kategori kumite lelaki bawah 60 kilogram dalam Sukan SEA tahun lalu.

Skuad negara berlepas ke Hanoi, Vietnam, hari ini sambil Senthil menetapkan sasaran untuk muncul juara buat julung kalinya.

"Saya pernah menyertai tiga edisi SEAKF tetapi gagal membawa pulang pingat di sebalik beraksi dengan baik.

"Tahun lepas, saya tidak mengikuti SEAKF sebab mahu memberi fokus kepada Sukan SEA 2017.

"Dah lama tidak turun SEAKF, saya pasti memberikan aksi terbaik untuk meraih pingat emas," kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia itu.

Senthil menjangkakan kejohanan itu nanti akan menjadi medan untuk menguji persiapan negara lawan yang bakal mengikuti Sukan SEA 2019 di Filipina, begitupun dia enggan meremehkan peluang peserta lain.

"Setiap negara akan menghantar wakil yang hebat sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2019," katanya.