Sembilan pemain hoki yang digugurkan daripada skuad kebangsaan masih terikat kontrak dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di mana mereka diarahkan menggalas tiga tugasan berbeza.

Mereka yang digugurkan tidak dibenarkan meninggalkan skuad kebangsaan kerana masih lagi memiliki kontrak dengan KHM.

Walaupun tidak bersama skuad utama menghadapi saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan dan menjalani program latihan di Korea Selatan, mereka telah diberikan pengkhususan yang berbeza.

Sebagai contoh, Najmi Farizal Jazlan dan Luqman Nur Hakim Ahmad Shukran akan memperkuatkan skuad hoki dalam dewan untuk menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila penghujung tahun ini.

Bagi skuad remaja negara yang bakal menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor bulan depan, Akhimullah Anuar Esook telah ditugaskan bertindak sebagai penyerang dalam saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Pemain yang mengalami kecederaan seperti Firhan Ashari perlu meneruskan rawatan dan program pemulihan sebelum kembali beraksi di padang.

"Agak kecewa kerana tidak dapat bersama skuad kebangsaan menghadapi saingan kelayakan Olimpik. Sebagai pengalaman untuk saya, ia adalah peluang untuk berdepan barisan pemain terbaik dunia," kata Firhan.

"Mereka masih lagi sebahagian daripada pasukan. Apa yang membezakan adalah program dan perancangan yang telah kami tetapkan kepada mereka.

"Ada yang bakal ke Sukan SEA di Manila, beraksi dalam Piala Sultan Johor dan sebilangan perlu pulih daripada kecederaan," kata ketua jurulatih, Roelant Oltmans.