Setelah pintu untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tertutup rapat buat badang negara, Azroy Hazal Wafie Izhar, dia kini memasang impian untuk cuba melakar sejarah muncul sebagai rakyat Malaysia pertama meraih pingat dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia.

Angkat berat dalam temasya Tokyo 2020 tidak mempertandingkan kategori 55 kilogram untuk acara lelaki, sebaliknya bermula dengan 61kg.

Perkembangan itu tidak mematahkan semangat pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu yang berhasrat untuk cuba melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand, September depan, selain berusaha menjadi atlet angkat berat Malaysia yang pertama meraih pingat di pentas terbabit.

Terlebih dahulu, Azroy serta rakan sepasukan yang lain akan bersaing dalam Kejohanan Angkat Berat Asia di Ningbo, China, bulan depan yang merupakan kejohanan antarabangsa pertama mereka selepas program sukan itu digantung sejak Jun tahun lalu gara-gara masalah doping.

"Saya akan mengalihkan fokus dalam Kejohanan Dunia.

"Dengan wakil Malaysia belum pernah memenangi sebarang pingat dalam kejohanan tersebut, saya mahu menjadi atlet Malaysia yang memenanginya, tidak kira apa warna pingatnya sekalipun.

"Justeru, saya akan berusaha lebih keras lagi untuk memenanginya," ujar Azroy.

Skuad negara baru sahaja selesai menjalani aksi persahabatan bersama skuad Sri Lanka di ibu negara, hari ini.

Sebanyak sembilan kategori yang dipertandingkan itu menyaksikan rata-rata atlet negara mendominasi saingan tersebut memandangkan lawan cenderung menurunkan atlet muda.

"Saya tidak berikan aksi sebenarnya pada hari ini dengan menganggap aksi persahabatan ini sebagai medan latihan," tambah Azroy.