Bekas pemain hoki kebangsaan, S. Selvaraju, memberi amaran kepada empat pemain negara yang mendapat tempat untuk beraksi bersama kelab Jerman dan Itali bermula bulan depan agar tidak mudah leka.

Muncul selaku individu yang bertanggungjawab memperkenalkan pemain kepada kelab yang terlibat, Selvaraju mengingatkan bahawa peluang itu perlu digunakan sebaik mungkin.

Ia bukan sekadar percubaan singkat, malah sekiranya keempat-empat pemain terlibat itu mampu membuktikan kemampuan mereka, pasti akan ada rundingan lebih baik berlaku selepas ini.

"Empat pemain yang dipilih ini bukan untuk bercuti. Mereka perlu beraksi dengan baik, pulang ke Malaysia dan bantu pemain lain," katanya.

Hal itu turut disokong ketua jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, yang melabelkan peluang itu sebagai medan terbaik yang pernah diterima oleh pemain hoki wanita negara.

"Peluang yang ada ini harus dimanfaatkan dengan baik. Pergi ke sana bukan untuk bercuti, itu saya sering fikirkan," tambah pemain negara, Noraini Abdul Rashid.