Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu tiga persatuan sukan yang masih berhutang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyelesaikan hutang mereka secepat mungkin tanpa campur tangan daripada pihak kementerian.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata MOM dan persatuan sukan terlibat masih dalam proses rundingan mengenai isu berkenaan.

“Saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada MOM mahupun persatuan sukan terlibat mengenai masalah ini. Namun, saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dirundingkan di antara kedua-dua terlibat.

“Jadi, setakat ini kita cuba biarkan rundingan tersebut diselesaikan antara pihak mereka sebelum wujudnya apa-apa campur tangan daripada pihak kementerian.

"Kami secara prinsipnya yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan baik antara mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan program Sukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) peringkat negeri Selangor di PPR Lembah Subang Dua, hari ini.

Media melaporkan pada 9 April lalu, MOM menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, memberi amaran kepada tiga persatuan sukan berkenaan agar melunaskan hutang bernilai ratusan ribu ringgit kepada badan induk itu.

Abdul Azim juga menjelaskan pihaknya mungkin akan mengambil tindakan drastik dengan tidak membenarkan persatuan sukan terlibat menghantar atlet mereka ke Sukan SEA di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Hutang tersebut adalah perbelanjaan yang telah dikeluarkan MOM bagi menghantar atlet Kategori B, iaitu atlet yang perlu ditanggung pihak persatuan sukan masing-masing untuk bertanding dalam Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

Perbelanjaan atlet kategori B akan dibayar semula MOM sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Dalam Sukan Asia lalu, hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat dalam temasya edisi ke-18 itu apabila Qabil Ambak Mahamad Fathil (pingat perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Mohamad Hazim Amzad, meraih gangsa.

-- BERNAMA