Bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, mengambil risiko besar apabila menyertai dan menjuarai satu kejohanan antarabangsa di Shanghai, China walaupun masih dalam proses penggantungan ekoran kes doping pada 2014.

Sazali pulang ke tanah air selepas menjuarai kategori 75kg dalam Kejohanan Bina Badan Pertunjukan Fearless di Shanghai, kelmarin.

Ia penampilan sulung dan kejayaan pertama sejak digantung empat tahun ekoran positif steroid pada 2014.

Situasi ini mewujudkan persoalan bagaimana dia boleh menyertai kejohanan walaupun masih digantung.

"Saya mendapat jemputan untuk menyertai kejohanan ini, jemputan daripada isteri dan rakan baik di sana. Saya pergi ke sana lebih kepada secara individu. Bukan melibatkan persatuan.

"Selama tempoh penggantungan itu, saya teruskan minat terhadap kerjaya saya. Ia untuk memantapkan lagi otot saya, bukan senang untuk kekalkannya.

"Saya jaga pemakanan saya dan makanan tambahan. Apabila ada kejohanan, saya bersiap lebih awal.

"Kalau mahu dapatkan kejayaan tanpa usaha memang susah. Tetapi saya teruskan usaha saya. Alhamdulillah, saya dapat rezeki dalam bulan Ramadan ini," katanya.

Kejayaan itu menyaksikan Sazali membawa pulang trofi dan wang tunai RM18,000.