Bekas Mr Universe, Sazali Samad, terpaksa menyertai arena profesional demi mencari nafkah keluarga selepas kecewa dengan tindakan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) yang menyalahkannya kerana menyertai kejohanan antarabangsa ketika masih menjalani hukuman penggantungan.

Sazali mengambil keputusan nekad meninggalkan skuad kebangsaan yang diwakilinya sejak 27 tahun lalu.

Bekas Mr Universe 10 kali itu akan menyertai arena profesional yang menawarkan ganjaran lumayan kepada pemenang selepas dia meraih RM18,000 ketika menjuarai kejohanan di Shanghai, China, minggu lalu.

Justeru, Sazali tidak akan menunggu keputusan MBBF yang mendapati dia bersalah kerana menyertai kejohanan ketika masih menjalani hukuman penggantungan.

"Bagi saya, (situasi ini) berat sebelah.

"Atlet lain yang sedang digantung, termasuk penggantungan seumur hidup, masih bebas menyertai kejohanan di luar sedangkan saya dikenakan tindakan disiplin.

"Bagi saya, ini sesuatu yang tidak adil," kata Sazali.

Jawatankuasa Disiplin MBBF bersidang di Desa Tasik, Kuala Lumpur, hari ini bagi membincangkan hukuman yang patut dikenakan terhadap atlet berkenaan.

Bagaimanapun, MBBF enggan mendedahkan bentuk hukuman walaupun kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) menetapkan Sazali boleh dikenakan hukuman maksimum empat tahun.

"Semasa menjalani penggantungan, dia tidak boleh menyertai sebarang pertandingan.

"Itu peraturan yang ditetapkan WADA. Ini bermakna Sazali telah melanggar hukuman penggantungan yang telah kami jatuhkan," ujar Setiausaha Kehormat MBBF, Kamarulzaman Kadir.