"Saya umpama gelandangan," kata diva karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang masih menagih sesuatu daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Kehadiran bekas ketua jurulatih skuad negara, Andris Vasiljevs, masih belum cukup buatnya.

Dia kini mahukan tempat latihan yang sempurna serta rakan sepelatih untuk membantunya menjalani latihan harian.

Dengan ketiadaan tempat latihan sempurna, bekas naib juara Kejohanan Dunia itu mendakwa dirinya dan Vasiljevs umpama gelandangan di negara sendiri.

"Saya tiada rakan sepelatih.

"Sekarang ini, kami berlatih di kawasan konkrit dan padang tiruan.

"Kami perlu memastikan jadual latihan tidak bertindih dengan atlet silat untuk menggunakan tempat latihan mereka.

"Kami seperti orang gelandangan," katanya.

Perkembangan terbaru mendapati Syakilla sudah menurunkan berat badannya sebanyak sembilan kilogram selepas tiga minggu di bawah sistem latihan Vasiljevs.

Atlet itu diberikan masa hingga September depan untuk memastikan berat badannya diturunkan sehingga layak untuk menyertai kategori bawah 55kg.

"Persoalannya bukan tentang berapa kilogram dia sudah turun tetapi tentang persekitaran yang sepatutnya.

"Ia tentang latihan dan rakan sepelatih yang sepatutnya dan segala-segala yang diperlukan untuk seorang profesional.

"Buat masa ini, kami di persimpangan di antara apa yang kami mahukan dan apa yang kami perlukan.

"Segala bukti menunjukkan ia adalah satu persoalan tentang satu kerja dan persekitaran yang sepatutnya," tambah Vasiljevs pula.

Sementara itu, MSN menegaskan Syakilla perlu menurunkan berat badannya terlebih dahulu sebagai syarat sebelum permintaan barunya itu disempurnakan.

"Proses persediaan atlet melibatkan GPP dan SPP.

"GPP ialah 'general physical preparedness' di mana fizikal dan kecergasan perlu diberikan keutamaan.

"Sekarang dia masih di peringkat GPP dan kita perlu melaluinya satu persatu di mana sasaran pertama ialah menurunkan berat badan di samping kecergasan fizikal dalam pertandingan.

"Dalam tempoh itu, jika dia hanya berlatih kecergasan tanpa sesi 'sparring', ia sudah pasti akan memberikan kesukaran kepadanya," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.